prolog novelet sinefilia


PEKAN CHANGKAT
Tarikh yang tidak diketahui bila dan masa yang tidak diketahui jam berapa.

Tikus Sinema
“Ketika pandangan kasat mata semakin jelas, dunia semakin kecil, tanda kita sudah pun dewasa. Tiba masa kita pula teroka dunia atas!” Dongkol Verona, sang tikus sinema atau lebih hips dipanggil sinematikus.

            SEDETIK kala itu, seperti rakaman pada seluloid kinetoscope pertama milik thomas edison 1894 ‘fred ott’ sneze’, aku deras bersin.

            “TUANPENGARAH merahmati kamu” Hela suara seorang wanita dengan nada halus kasyaf.

            Ada apa dengan TUANPENGARAH? Bukan kah sepatutnya “TUHAN merahmati kamu?” atau “God bless you?” Saat waktu tidak diketahui jam berapa. Ketika tidak pasti berapa-hari bulannya. Ia datang hampir seperti sebuah mimpi. Persis ruang paradox sur-realis, jam berputar laju tidak berhenti. Terjelepuk dalam ruang mati. Rasanya mengerikan bila aku cuba mencari dasar untuk kaki berpijak. Seperti lemas dalam lautan yang tak pasti berapa dalam dasarnya itu. Aku menarik nafas panjang. Cuba mencari kembali ketenangan yang hilang dimamah mega-ribut aneh, seriau malam itu. Luar biasanya seperti sebuah novel tulisan Stephen King atau mungkin sebenarnya Roald Dahl. Dalam sebuah bilik, suasana hampir gelap. Lampu terang tiba-tiba bernyala, kuat, menyilau benak mata. Tangan aku bingkas menutup kedua belah mata dari silauan cahaya itu. Seperti watak Marion Crane lakonan Janet Leigh menutup wajah juga matanya ketika adegan pembunuhan di dalam bilik air motel milik Norman Bates. On screen gambaran x-ray kudrat tulang-temulang susuk tubuh lemah seorang lelaki bernama aku. Lengit. Sesekali sinaran lampu x-ray itu bernyala dan terpadam. Dan kemudian bernyala kembali. Densiti cahayanya seperti cahaya lampu xenon berkuasa 4000 walt. Menyenakkan.

            “Ok. Tarik nafas …” Kata wanita yang tidak aku kenali dari belakang mesin pengimbas x-ray itu. Wanita itu yang membawa aku masuk ke dalam bilik x-ray ini, ketika aku mengekori dibelakang susuk tubuhnya yang seksi persis Maria Ozawa itu tadi.

            Kelihatan gambaran x-ray rangka tulang tubuh aku, menarik nafas panjang. Lalu menghembuskan kembali nafas deras. Persis sebuah penyerahan. Lengit. Seperti ada sesuatu yang cuba dilepaskan namun tidak terdaya. Lesu. Lengit. Atau apa pun istilah yang mengambarkan aku orang Melayu. Wajah aku kosong. Bingung. “Mau sahaja aku menyanyi lagu Najwa Latif, kerana itu sahaja lagu yang aku hafal. Kau buat ku rasa kosong… kosong… Kosong.”

            Malam yang panjang juga aneh itu benar melengitkan. Luar biasanya meresahkan perasaan aku yang sememangnya cengeng. Sesekali aku cuba memejamkan mata deras. Mengharap agar aku terjaga dari mimpi aneh ini. Dari kisah picisan persis novelette manga Seram tulisan Shintaro KagoDream Toy Factory atau mungkin Ramlee Awang Mursyid – 9 Nyawa. Mata aku terbuntang. Menderu deras nafas lesu. Melihat mesin pengimbas x-ray di hadapan aku. Mata aku mencuri pandang pada susuk tubuh doktor yang persis Maria Ozawa itu. Kalau sahaja benak mata ini punya dawai spring yang membolehkan mata aku ini terbonjol keluar dan dicengkam spring yang panjang. Boleh sahaja mata aku ini melihat ke arah tubuh montoknya di belakang aku. Mahu sahaja aku terus berfantasi dengannya didepan mesin ini. Seperti dalan novel trilogy Fifty Shades yang asyik dibaca oleh Verona, awek aku berbangsa Cina yang tinggal se-rumah denganku di tempat asalku dulu. Dia, Verona-wanita pseudo-moden masa kini. Berlegar dalam benak fikirku, ada apa tentang wanita urban dan sexual-fetish? Awek aku. Cina. Di tempat asal-ku. Dan aku kembali bernostalgia tentang tempat asal-ku itu.

            Wanita persis Maria Ozawa itu, berbaju kot putih berjalan menuju ke arah depan pengimbas x-ray, sambil membawa beberapa keping gambar negatif x-ray tubuhku. Baru aku perasan, di dada kecilnya tertera tag besar nama Nadia Khan. Dari kot putih yang dipakainya itu, aku membuat andaian yang dia seorang doktor. Atau mungkin dari susuk tubuhnya, Nadia Khan hanya pelajar practical di kelinik milik sepenuhnya TUANPENGARAH. Kelinik “1Pekan”. Lampu bilik dibuka. Terang. Aku keluar dari mesin pengimbas x-ray, mencapai satu-satunya baju t-shirt aku yang sudah lusuh dan mulai berbau tengik peluh. Baju itu disangkut pada sebuah dinding di dalam bilik yang sederhana kecil itu yang dilitupi dinding berwarna putih. Dingin. Aku memakai baju t-shirt itu kembali. Aku berjalan keluar dari bilik x-ray itu. Membuka pintu bilik dan melangkah keluar. Di koridor bilik, seorang lelaki, India-Muslim, berumur dalam lingkungan lewat 20-an, yang sedang duduk di atas sebuah bangku kayu di ruang legar kelinik itu, tersenyum sambil semberono menghirup minuman kotak kecil susu Dutchlady, lalu bangkit dan berjalan menghampiri aku. Wajahnya kasat berbulu jambang, janggut dan misai, mirip benar watak Wolverine lakonan Hugh Jackman dalam filem X-Men. Namanya Mubarak.

            “Mika, Tok Ketua nak jumpa kau!” jelas Barak.
            Tak ada ke dia nak tanya soalan yang lebih bijak sikit. Contoh sama-ada aku okey ke tidak? Atau setidaknya apa keputusan x-ray yang baru aku jalani tadi?” bisik benak hati aku sendiri. “Tok ketua? Kenapa?” Soal aku kembali pada Mubarak.
            “Mr. David. Tuan punya panggung. Nak jumpa kau. Katanya, dorang cari kau! Katanya nak minta tolong kau untuk mainkan filem kat panggung!” Jawap Barak dengan nada beriya.
            “Panggung? Bukan ke panggung tu dah rentung?” cebik aku.
            “Tuan punya panggung, nak buka balik panggung tu! Dengan izin TUANPENGARAH!” bilas Mubarak lagi.
            “Lagi-lagi dengan izin TUANPENGARAH!” bentak dalam hati aku sendiri.
            “Jom lah. Kat sana nanti, Tok Ketua dan Mr. David akan terangkan lagi.” Jelas Mubarak lagi bersuluh.
            “Tapi x-ray aku ni macam ma?” Belum sempat aku akhiri pertanyaannya itu, Mubarak bingkas beredar.

            Memaksa aku untuk membuntutinya. Dalam perjalanan menuju ke pintu utama kelinik, Mubarak sempat membuang kotak minuman susu Dutchlady itu ke dalam sebuah bakul sampah kecil di hadapan kaunter ubat kelinik itu. Mata aku memandang ke arah doktor Nadia yang sedang memeriksa fail di balik kaunter. Doktor Nadia hanya melihat ke arah aku dan Barak yang semberono berjalan beredar keluar di pintu utama kelinik tersebut, tanpa sempat dia menerangkan aku tentang keputusan pemeriksaan x-ray yang dilakukannya terhadap aku tadi. Apa agaknya keputusan x-ray aku itu?

            Aku mengekori Mubarak keluar dari kelinik “1Pekan” itu. Se-langkah keluar dari kelinik itu, kelihatan landskap pinggir Pekan Changkat. Kelam. Sunyi. Menyeramkan sebenarnya. Menghirup pada injap nafas di Pekan Changkat, serasa persis bau kelat-hamis kota Bombay. Atau mungkin pekan Noir Metropolis Fritz Lang yang penuh tipu-helah. Kota dosa penuh prejudis, korupsi, diskriminasi, dan syak-wasangka.

            Dan dosa yang merendahkan diri adalah lebih baik dari pahala yang membongkakkan.

            Lampu neon di kaki lima malam itu bercahaya malap. Semacam benar mengambarkan indeksikal negatif pekan Changkat. Dan segelintir manusia lelaki juga wanita, dalam bias cahaya chiaroscuro, berkeliaran seperti masing-masing punya udang di balik Maggi Mee perisa kari atau mungkin asam laksa. Sesekali mereka nampak seperti zombi watak imaginasi George A. Romero. Aku sedayanya cuba mengelak untuk tidak punya sebarang hubungan fizikal-mental dengan mereka. Mintak simpang 7 petala langit!

            Pekan Changkat ini, pekan aneh yang masih lagi belum dapat aku teladani makna pada kewujudan aku di dalam pekan ini. Langit masih lagi gelap. Masih beratapkan cahaya kemilau Dewi Fajar Rom AuroraBorealis. Aku menelusuri denai kaki lima, pinggir jalan kecil pekan itu, membontot Mubarak menuju ke arah sebuah kereta Nissan BlueBird warna biru miliknya, yang sedang elok diparkir di hadapan sebuah gerai kueh Apambalik. Aku dan Mubarak menaiki kereta, dan bingkas Mubarak memandu kereta itu beredar.

            “Benar aku tak tahu bagaimana aku boleh berada dalam alam aneh ini. Tapi malam sueh ini benar melengitkan aku. Dan ini peluang aku. Untuk berjasa pada Tuan Taukeh Panggung. Mr.David. Kenalan rapat TUANPENGARAH yang digebang Mubarak itu. Agar dapat aku diberi peluang untuk bertemu dengan TUANPENGARAH. Mencari penjelasan pada kekusutan yang sedang aku alami ini!”

            Dalam kereta, Mubarak dengan wajah lesu, memandu kereta itu laju. Tak tahu sama-ada dia mahu mengejar sesuatu atau mungkin sahaja lenggeng nak menunjuk-nunjuk kehebatan drifting-nya yang sebenarnya tak se-berapa sejujurnya. Perjalanan mereka meredah gelap malam, diapit pemandangan luas horizontal dota tanah kontang di kiri dan kanan jalanraya kecil pekan Changkat. Lalang dan paya. Hanya kelihatan jauh di hujung pangea, agam sebuah rumah banglo Anggerik Villa di puncak bukit, Kampung Simpang Siur, di pinggir Pekan Changkat ini. Aneh apabila kami melewati jalan-raya yang gelap itu, di kawasan kemalangan dan ini aku tahu dari papan-tanda tengkorak manusia dan tulang rangka yang disilang di bawah tengkorak itu. Di bawah papan-tanda itu, kelihatan susuk tubuh seorang pemuda berkemeja putih dengan seluar yankee putih, mukanya mirip Hassan Muthalib masa muda-muda. Kalau ada yang tak kenal lagi Hassan Muthalib, minta ampun, taubatlah banyak-banyak. Selain dia, yang lain-lain semuanya sesat. Dia seorang je yang tak pernah sesat! Kah Kah Kah. Okey, back to the story, lelaki berkemeja putih yang mirip Hassan Muthalib itu sedang berdiri menyilang telumit kakinya sambil tangan kanannya menunjukkan ke satu arah ke tanah di sebelah kanannya. Pandangan mata kasat aku mengagau melihat ke arah pemuda itu dan apa yang ditunjukkan oleh pemuda itu, tapi kerana Barak hanya memandu keretanya laju melewati pemuda itu, aku kurang pasti apa yang sedang ditunjukkan oleh lelaki berkemeja putih itu. Mata aku beralih memandang ke arah Barak yang sedang memandu, namun Barak tanpa sebarang bunyi, memandu kereta itu tanpa berbicara apa-apa.

            “Tapi macam mana Tok Ketua tahu aku ni projectionist panggung?” Tanya aku pada Barak cuba memecah kesunyian dalam kereta itu.
            “Kau pernah cerita kat aku kan? Dulu kat tempat asal kau, dari tempat kau datang, kau projectionist panggung. Bukan?” Soal Barak memecah kedunguan suasana dalam kereta itu. “Aku yang bagitau Mr. David. Jadi dia suruh aku bawa kau jumpa dia sekarang kat rumah Tok Ketua!” jelas Barak lagi.

            Aku mengangguk kepala, tanda mengiyakan penjelasannya. Barak membawa keretanya masuk ke dalam kawasan Kampung Simpang Siur. Aku tahu ini juga dari papan tanda yang berdiri rapuh di depan sebuah gerai makan. Berkarat, menunggu masa untuk rebah, terjelepuk menyembah tanah kering ini.

            “Tempat asal aku. Dari mana aku datang.” Dan aku mulai bernostalgia sendiri sambil Barak ralit memandu kereta Nissan Bluebird itu.


            Berjelaga Mika sendiri di depan komputer ribanya di atas katil bujangnya. Jemarinya buntu di permukaan papan kekunci. Seperti maestro yang hilang irama di depan nota grand pianonya. Matanya merah kuyu. Jam penggera berbentuk segitiga tepat yang berada di atas meja di dalam bilik itu menunjukkan tepat pukul 3.00 pagi. Mika meletakkan komputer riba itu di sebelah kanan katil bujangnya. Lalu merebahkan tubuh lesu dan membungkam mata lengitnya.